Wednesday, November 25, 2009

PROGRAM RAKAN MUDA-REMAJA SIBER BENGKEL SUNTINGAN VIDEO BRIGED BESTARI S.T.A.R DI BAHAGIAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN NEGERI PERAK (BTPN PERAK)-04NOV2009





Pada 4 November 2009, ahli-ahli Briged Bestari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) telah melaksanakan satu aktiviti lawatan pembelajaran ke Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN)Perak, Ipoh. Lawatan ini bertujuan untuk mendedahkan para ahli Briged Bestari STAR terhadap cara-cara suntingan video dan multimedia dengan lebih mendalam lagi. Program ini dinamakan Bengkel Suntingan Video yang dianjurkan oleh Rakan Muda dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Perak dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN)Perak. Peserta yang terlibat dalam bengkel ini adalah terdiri daripada pelajari tingkatan 1, 2, 3 dan 4 ahli Briged Bestari.

Para peserta bertolak ke Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak, Ipoh pada pukul 7.30 pagi dengan menaiki bas Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR). Setibanya kami di sana, kami disambut oleh pegawai-pegawai yang bertugas di sana. Sesudah itu, kami telah diminta untuk memasuki Makmal komputer Putra Bestari di aras dua bangunan tersebut.

Pada awalnya, kami telah diperkenalkan dengan fasilitator iaitu saudara Muhammad Haziq Bin Muhammad Faisal dari Sekolah Menengah Simpang Beluru, Kuala Kangsar, Perak. Beliau berusia 15 tahun merupakan rakan sebaya dalam program Rakan Muda-Remaja Siber ini. Kami difahamkan bahawa beliau baru saja habis menduduki peperiksaan PMR semalam dan merupakan seorang yang berkebolehan dalam mengendali perisian yang bakal kami pelajari iaitu Sony Vegas. Perisian ini merupakan perisian yang digunakan oleh pakar suntingan video dan kami amat berbangga serta menghargainya kerana berpeluang mempelajari perisian ini. Setelah itu, mengikut jadual 10.00 pagi para peserta berehat untuk sesi minum pagi di kantin.

Pembelajaran kami diteruskan dengan penerangan lebih lanjut mengenai perisian ini. Kami telah diberi masa untuk mengumpul bahan-bahan bagi menghasilkan video menggunakan idea sendiri. Setiap peserta meneruskan pembelajaran dengan memulakan proses menyunting video dan dibimbing oleh fasilitator yang bertugas. Setiap peserta juga dibenarkan bertanya apabila menghadapi kesulitan dan peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka. Kami berehat sebentar untuk makan tengahari dan solat zohor. Kemudian proses pembelajaran kami diteruskan dengan kembali ke makmal komputer putra bestari.
Para peserta yang Berjaya menghasilkan video tersendiri telah manyimpan hasil kerja mereka di dalam pendrive masing-masing. Sebelum berangkat pulang ke sekolah, kami telah menerima sijil kehadiran bengkel suntingan tersebut yang disampaikan oleh pegawai dari Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak Encik Muhammad Faisal, setelah selesai acara penyerahan sijil kehadiran, semua pelajar Briged Bestari bergambar kenangan bersama fasilitator, guru pengiring dan pegawai yang bertugas.

Walaupun program bengkel ini dalam masa yang terhad dan singkat, para peserta telah memanfaatkannya sepenuhnya. Segala ilmu yang diperolehi oleh peserta adalah sedia untuk dikongsi bersama-sama. Ucapan ribuan terima kasih dan sekalung penghargaan kami berikan kepada pihak Rakan Muda kerana telah member kami peluang keemasan ini. Juga tidak dilupakan kepada guru pengiring kami yang sentiasa bersedia menabur bakti kepada kami dalam masa senang dan susah iaitu Encik Abdul Rahman bin Rashid.

Disediakan oleh:
Azirul Azeem bin Mazri
(Tingkatan 4P)
Briged Bestari 2009.
17 November , 2009

No comments:

Post a Comment