Thursday, November 26, 2009

KEM EKONOMI 2009 ANJURAN KELAB BAKTI GUNUNG KELEDANG 13-15 NOV.2009



Pada 13-15 November 2009, seramai lima orang ahli Briged Bestari Sekolah Tuanku Abdul Rahman iaitu Farizuwan b Abdul Rahman (4T), Muhamad Naqib b. Md Salim (4P), Azirul Azeem b. Mazri (4P), Muhammad Syamim b. Nazida (4S),Muhammad Zaim Yusran Bin Mohd Zaidy (4T) dan Ashman Ezani Bin Amirudin(4S) telah menyertai Kem Ekonomi anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang(KBGK) bertempat di Hotel Hillcity, Ipoh. Kelab ini merupakan sebuah NGO melayu yang bergiat dalam kebaktian masyarakat sejak ditubuhkan pada tahun 1977.
Kem Ekonomi ini dianjurkan dengan kerjasama K-Perak Incorporated Sdn. Bhd. dan Jabatan Pelajaran Perak (JPN). Tujuan kem ini diadakan adalah untuk memperkenalkan para peserta kepada dunia usahawan dan potensi perniagaan global berinternet.
Peserta program ini adalah seramai 32 orang dari sekolah-sekolah di sekitar Perak iaitu :
i) Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR)
ii) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK)
iii) Sekolah Menengah Anderson
iv) Sekolah Perempuan Methodist
v) Sekolah Raja Perempuan
vi) Sekolah Menengah Teknik Persiaran Brash

Pada hari pertama, iaitu Jumaat 13 November 2009 kami telah didedahkan tentang satu cara menarik untuk mengenali diri iaitu berbentuk segitiga tarikh lahir oleh Dr. Zieman. Setelah itu, kesemua peserta dibahagi kepada lima buah kumpulan. Kumpulan-kumpulan tersebut adalah Zealous, Zeus, Independence Junior, Reverie dan Marvels. Setiap kumpulan dianggotai sekurang-kurangnya seorang peserta daripada STAR dan MCKK. Di sebelah malam, kami telah diberi motivasi untuk memperkembangkan potensi dan ciri kreatif serta inovatif dalam diri masing-masing. Kami juga telah dihiburkan dengan beberapa persembahan multimedia ‘Standup Comedy’. Peserta-peserta juga telah diberi sejumlah masa untuk memikirkan tentang persembahan lamanweb dan standup comedy.

Pada hari kedua, Sabtu 14 November 2009 kami telah dibawa ke Bangunan Perak Techno Trade Centre (PTTC) untuk sesi pembinaan laman web untuk e-commerce. Keseluruhan slot-slot ini dibimbing oleh En. Zaidi yang pakar dalam bidang ICT dan laman web. Setelah tamat, iaitu pada pukul 5.00 petang kami kembali ke Hotel Hillcity dan bersiap sedia untuk slot persembahan standup comedy pada malam tersebut. Seorang daripada ahli kelab tersebut telah memberi taklimat tentang bagaimana menjadikan hobi sebagai satu perniagaan. Sukacita dimaklumkan bahawa seorang pelajar kita iaitu Muhammad Naqib b. Md Salim telah berjaya mendapat hadiah berupa seutas jam tangan berjenama Casio setelah berjaya menjawab soalan daripada fasilitator. Selepas itu, peserta-peserta telah mempersembahkan jenaka spontan masing-masing. Selepas slot tersebut, para peserta telah diberi masa ataupun disebut sebagai ‘Brainstorming’ untuk menyiapkan sentuhan terakhir bagi mempersembahkan hasil kreativiti masing-masing dalam membina laman web perniagaan.

Pada hari terakhir iaitu Ahad, 15 November 2009 merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh setiap peserta program ini. Setelah sarapan, para peserta diminta bersiap sedia untuk mempersembahkan laman web kumpulan masing-masing. Persembahan tersebut telah berlangsung selama satu jam. Program ini diteruskan pula dengan malis penutup dan penyampaian sijil penyertaan dan hadiah kepada peserta yang berjaya mengungguli acara-acara. Bagi acara StandUp Comedy, Kumpulan Marvels yang dianggotai oleh Muhamad Naqib b. Md Salim(Starians) telah dinobatkan sebagai johan. Sijil dan trofi diberikan kepada setiap ahli kumpulan. Bagi acara membina laman web e-commerce pula kumpulan Zeus yang turut dianggotai oleh Azirul Azeem b. Mazri (Starians) telah diberi hadiah berupa vaucer untuk dibelanjakan di pusat membeli-belah Jusco atau AEON Berhad setelah berjaya membangunkan laman web yang cemerlang. Program ini diakhiri dengan makan tengahari dan sesi bergambar.

Walaupun program ini diadakan dalam masa yang singkat, namun para peserta telah memanfaatkan masa sepenuhnya dan berusaha untuk mengambil pengalaman sebanyak mungkin. Disamping itu, para peserta juga telah mebina hubungan yang kukuh dengan peserta dari sekolah lain. Dalam kem ini,peserta Sekolah Tuanku Abdul Rahman dilihat lebih menyerlah apabila perbandingan dibuat. Terima kasih kepada guru pengiring kami, Encik Abdul Rahman Bin Rashid kerana membantu dan member semangat serta sokongan dalam Kem Bakti Gunung Keledang ini.

Disediakan oleh:
Azirul Azeem bin Mazri
Briged bestari STAR 2009

No comments:

Post a Comment