Thursday, November 26, 2009

PROGRAM RAKAN MUDA – CINTA ALAM LAWATAN BRIGED BESTARI STAR KE SANTUARI BURUNG KUALA GULA, TAIPING PERAK 16NOV.2009




Pada 16 November 2009 yang lalu, ahli-ahli Briged Bestari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) telah melakukan satu lawatan ke santuari burung di Kuala Gula, Taiping Perak. Lawatan ini disertai oleh 40 ahli briged bestari STAR yang terdiri daripada Tingkatan 1,2,3 dan 4. Pelajar tingkatan 5 tidak dapat mengikuti lawatan ini kerana mereka bakal menduduki peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) pada 18 November 2009.
Kuala Gula, Taiping merupakan sebuah perkampungan nelayan terletak di persisiran pantai utara negeri Perak, kira-kira 50 km dari barat laut Bandar Taiping. Ianya merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Paya Laut Matang yang terdiri daripada hutan bakau dan kawasan pantai berlumpur. Kawasan ini penting sebagai kawasan mencari makan untuk burung-burung berhijrah dan tempat bertelur untuk burung residen. Kuala Gula telah terkenal di peringkat tempatan dan antarabangsa terutamanya kepada pemerhati burung kerana ianya amat signifikan dengan kewujudan burung air/berhijrah.

Kami bertolak pada pukul 7.30 pagi dengan bas Sekolah Tuanku Abdul Rahman. Sebelum melepasi pagar, rombongan lawatan ini sempat bergambar dengan rentangan lawatan. Peserta rombongan memakai baju hitam berlogo Rakan Muda dan beridentiti Briged Bestari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR). Setelah dua jam perjalanan, rombongan kami tiba di tempat tujuan kami iaitu Santuari Burung Kuala Gula yang juga merupakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara. Di sini, pelbagai spesies burung-burung dan hidupan paya bakau dijaga bagi memastikan spesies-spesies tersebut kekal berpanjangan dan tidak pupus ditelan zaman.

Setibanya kami di sana, kami sekali lagi bergambar kenangan bersama kakitangan dan pekerja santuari burung tersebut. Kedatangan kami disambut baik oleh kakitangan bertugas di sana. Kami telah diberi penerangan tentang Pusat Santuari Burung dan Jabatan Perhilitan oleh seorang pegawainya bernama Encik Ishak.

Kami juga dipersembahkan dengan tayangan video menjelaskan tentang sejarah dan keistimewaan Kuala Gula, Taiping. Dahulunya, Kuala Gula merupakan pengeluar gula dan mempunyai ladang tanaman tebu. Buktinya, sehingga sekarang masih ada ladang dinamakan Ladang Gula walaupun ladang tersebut merupakan ladang tanaman kelapa sawit. Namun begitu, dengan hasil nelayan di sini, Kuala Gula sekarang telah memainkan peranan sebagai pengeluar belacan dengan adanya kilang belacan di sini.

Kami telah dibawa melihat pameran tentang spesies-spesies hidupan lindungan dan seterusnya melawat perkampungan nelayan. Walaupun kami tidak berkesempatan menaiki bot untuk melihat burung, kami dapat melihat dengan jelas keistimewaan Kuala Gula iaitu kepelbagaian burung dan hidupan lain. Burung-burung bebas berterbangan di atas permukaan air. Selepas itu, kami dibawa untuk menjamu selera sebagai santapan tengahari di kantin Sekolah Kebangsaan Kuala Kurau, Taiping. Kami amat bertuah kerana dapat menikmati hidangan nasi ayam yang dimasak khas untuk kami. Setelah puas menjamu selera, kami diberikan peluang lagi sekali untuk meninjau pusat eko-pelancongan bersebelahan dengan santuari burung. Di sini terdapat banyak chalet dan infrastrukturnya menarik kerana berhampiran dengan kuala sungai.Setelah semuanya berakhir, kami berangkat pulang ke Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh. Kami memasuki pagar utama Sekolah Tuanku Abdul Rahman kira-kira pukul 3.00 petang.

Walaupun lawatan ini hanya sebentar, namun kami telah memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang diberi. Kami telah diberi kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan melindungi hidupan yang diancam kepupusan.

Disediakan oleh:

Azirul Azeem bin Mazri
Tingkatan 4P)
Briged Bestari 2009.
17 November , 2009

No comments:

Post a Comment